Wednesday, April 28, 2010

Si Tikus Bermain Permainan Susun Suai Gambar.

Pada suatu malam, sewaktu berkunjung ke rumah kanak-kanak berhampiran, Si Tikus terjumpa beberapa kepingan permainan susun suai gambar. Si Tikus berasa teruja lalu membawa beberapa keping pulang ke rumah.


Di rumah, Si Tikus mula bermain. Setelah lama berusaha, Si Tikus akhirnya berjaya mencantumkan bahagian gambar telinga yang berbulu. Si Tikus begitu leka bermain sehingga tidak sedar hari telah pun larut malam. Walaupun berhajat untuk terus bermain,Si Tikus terpaksa akur untuk berhenti bermain dan tidur.


Keesokan harinya, Si Tikus pergi semula ke rumah kanak-kanak itu untuk mengambil beberapa kepingan susun suai gambar lagi. Si Tikus pun terus sambung bermain permainan susun suai gambar sebaik sahaja sampai di rumah.


Kali ini, Si Tikus bejaya mencantumkan bahagian badan yang berbulu pula. Perasaan ingin tahu yang amat kuat mengenai gambar sepenuhnya membuatkan Si Tikus tidak sabar menanti hari esok.


Maka, keesokan harinya, Si Tikus yang bertekad menyelesaikan permainan susun suai itu pergi ke rumah kanak-kanak. Kali ini, Si Tikus mengambil semua baki kepingan susun suai gambar yang ada dan terus pulang ke rumah.


Si Tikus mula bermain. Si Tikus berasa gembira dan tergesa-gesa mencantumkan semua kepingan susun suai gambar. Namun, secara tiba-tiba, Si Tikus mula berasa takut.


Sebaik sahaja Si Tikus berjaya mencantumkan kepingan susun suai gambar yang terakhir, Si Tikus terus lari lintang pukang kerana gambar yang dicantumkan selama ini rupa-rupanya gambar seekor kucing.

No comments: