Thursday, April 29, 2010

Anak Kambing yang Bijak

Pada suatu hari, seekor anak kambing berlari keluar dari kandangnya. Anak kambing itu bermain dengan gembira di padang tanpa menyedari dirinya diekori oleh seekor serigala. Tiba-tiba, serigala mendekati anak kambing itu dan ingin menerkamnya.


Walaupun anak kambing berasa amat takut, otaknya ligat memikirkan cara untuk melepaskan diri. Anak kambing itu merayu kepada serigala. "Lihatlah badanku yang begitu kurus ini, hanya tinggal tulang sahaja! Manalah sedap dimakan. Jika kamu boleh bersabar, tunggulah sehingga musim luruh tiba, aku pasti akan menjadi gemuk. Maka, kamu makanlah aku pada masa itu."


Serigala terus bersetuju dengan cadangan anak kambing itu. Kemudian, serigala pun menanyakan nama anak kambing itu. Anak kambing itu dengan selamba menjawab. "Namaku Si Bijak." Serigala pun terus melepaskan anak kambing itu.


Musim luruh yang dinantikan serigala pun tiba. Maka, ia terus menuju ke kandang kambing. "Si Bijak di manakah kamu berada?" laung serigala dari luar kandang. "Aku di dalam kandang ini", jawab anak kambing. Serigala yang berasa gembira mendengar suara anak kambing itu terus berkata,"Si Bijak, cepatlah keluar, aku datang mencari kamu!"


"Jika aku keluar, aku bukanlah Si Bijak lagi!" kata anak kambing itu sambil ketawa. Mendengar kata anak kambing itu, barulah serigala sedar bahawa dirinya telah ditipu. Tidak lama selepas itu, anjing-anjing penggembela kambing pun keluar lalu terus mengejar serigala. Akhirnya, serigala mati digigit anjing-anjing itu.

No comments: